JANGAN TERPENGARUH DENGAN TSUNAMI FITNAH
JANGAN TERPENGARUH DENGAN TSUNAMI FITNAH
Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan taktik ‘tsunami fitnah’ yang menjadi sandaran pembangkang pada kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Menurut beliau, pembangkang tidak mempunyai agenda besar untuk rakyat, hanya sekadar untuk menjatuhkan beliau dan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Beliau turut menunjukkan gambar yang memaparkan beliau bersama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Tan Sri Azman Mokhtar yang kononnya sedang melihat dan mengira wang yang berada di atas meja, sedangkan gambaran sebenar adalah ketika mereka bersama melihat model replika projek Taman Tugu yang diubah.
“Janganlah percaya dengan berita-berita atau gambar seperti ini dalam media sosial sebab mereka (pembangkang) akan lakukan sebanyak mungkin fitnah,” katanya.
Pengerusi BN itu berkata pilihan raya sepatutnya menjadi pertandingan mengenai agenda untuk rakyat dan negara.
“Maknanya kita kena pilih mana satu agenda yang terbaik untuk negara dan rakyat, kenapa kita perlu beralih kepada semua ini (fitnah)?
“Sebab apabila menggunakan ini (fitnah), maknanya anda sudah mempertimbangkan hakikat bahawa agenda anda untuk negara ini kurang baik, tak boleh mengatasi agenda BN untuk rakyat dan negara.
“Anda sangat terdesak untuk terlibat dalam politik murahan.”