KASIHAN DENGAN TUN MAHATHIR - KU NAN
KASIHAN DENGAN TUN MAHATHIR – KU NAN
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengakui berasa kasihan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dipercayai dihina oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.
Menurutnya, Barisan Nasional (BN) sedar mantan perdana menteri itu sedang diperkudakan DAP demi kepentingan politik.
“Tun Mahathir ini saya kasihan. “Memang kita tahu dia diperkudakan oleh pembangkang dan DAP,” katanya ketika diminta mengulas mengenai rakaman video Nga Kor Ming sedang menghina Mahathir yang tular dalam media sosial.
Dalam rakaman tersebut, calon DAP bagi Parlimen Teluk Intan itu dilihat menghina Mahathir dengan teruk dalam satu ucapannya di atas pentas.
Sambil menunjuk ke arah gambar Mahathir, beliau dengan biadabnya mengatakan konon bekas perdana menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew sedang menunggu Mahathir untuk sama- sama bermain mahjong.
Ucapannya dalam bahasa Mandarin itu turut disambut gelak ketawa dan tepukan daripada hadirin.
Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan turut mendakwa blok pembangkang yang diketuai Mahathir menggunakan tipu helah setiap kali mengadakan ceramah bagi memperdaya rakyat.
Beliau mendakwa PH membawa pengunjung dari luar untuk memperlihatkan siri ceramah blok pembangkang terus mendapat sokongan rakyat seperti yang berlaku di Putrajaya
“Apa yang dilakukan di Putrajaya semuanya dirancang.. Kita tahu ada lapan buah bas bawa masuk pengunjung luar, kita tahu siapa yang datang kerana saya kenal warga Putrajaya.
“Semuanya ‘stage manage’, dia mahu menipu rakyat, saya dulu (bekerja) dengan Tun Mahathir jadi saya tahulah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Surau Jumaat Abbas Al-Habshee (Baru) di Kuala Lumpur pada Ahad.
Turut hadir ialah calon BN Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Abbas Al Habshee.
Oleh : SYAKIRIN DAUD @ WATAN ONLINE