RAIS YATIM MASIH AHLI UMNO -KU NAN
RAIS YATIM MASIH AHLI UMNO – KU NAN
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memperbetulkan kenyataannya dengan mengesahkan keahlian Tan Sri Rais Yatim belum digugurkan UMNO.
Sebaliknya kata Setiausaha Agung UMNO itu, hanya Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz dipecat berkuatkuasa Jumaat.
Beliau berkata, UMNO sudah menyerahkan surat menggugurkan keahlian parti kepada Rafidah dan Daim hari ini susulan sokongan mereka terhadap pembangkang dan mengeluarkan kenyataan menghentam parti.
“Status keahlian Tan Sri Dr Rais Yatim masih di peringkat perbincangan untuk tindakan selanjutnya.
“Saya ingin memperbetulkan, hanya satu lagi belum (digugurkan keahlian) iaitu (Tan Sri Dr) Rais Yatim. Saya baru bermesyuarat di ibu pejabat tadi dan (status) Rais masih kabur.
“Kita sudah menghantar dua surat (menggugurkan keahlian) dan satu lagi surat ditahan kerana (tindakan) Rais masih samar-samar. Jadi kita belum menggugurkan lagi (keahlian) Rais,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan program Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyerahan Surat Tawaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Aman di Kepong, pada Sabtu.
Turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr M Loga Bala yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Segambut dan calon BN Parlimen Kepong Ong Siang Liang.
Terdahulu, Tengku Adnan ketika ditemui di Putrajaya hari ini memberitahu sudah menandatangani surat pengguguran keahlian Rafidah, Daim dan Rais semalam selepas mendapat bukti kukuh sokongan mereka terhadap pembangkang dan membuat kenyataan menghentam parti.
Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata, UMNO tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang sengaja membuat onar dan menjejaskan imej parti.
“Kalau mereka (ahli) yang lain membuat onar, UMNO akan mengambil tindakan,” katanya.
watan online