PERJUANGAN MYPPP DITERUSKAN SEPERTI BIASA
Perjuangan myPPP diteruskan seperti biasa
KUALA LUMPUR - Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP), Tan Sri M. Kayveas meneruskan perjuangannya dalam parti seperti biasa walaupun tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu menyaksikan pelbagai spekulasi pimpinan beliau dalam MyPPP.
Beliau berkata, pejuangan harus diteruskan demi masa depan rakyat yang masih memerlukan pihak yang boleh melaksanakan pembangunan dan bukan hanya pandai berpolitik.
“Daripada dahulu sehingga sekarang, fokus kami hanya untuk menyempurnakan apa yang kita perlu lakukan bersama rakyat walaupun pelbagai tohmahan telah banyak dilemparkan kepada kami akhir-akhir ini.
“Sepanjang lebih 20 tahun kami menjadi pemerhati di beberapa kawasan lembah Pantai ini seperti rumah anak yatim serta warga yang kurang berpendapatan, kami menjadi penghibur kepada mereka menceriakan suasana apabila tiba setiap musim perayaan,” berkata beliau selepas Majlis Iftar di Wisma PPP, Jalan Kampung Attap, di sini semalam.
Dalam majlis tersebut, Kayveas turut memberi sumbangan berbentuk duit raya kepada semua kanak-kanak dan warga emas Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah.
Beliau menambah, MyPPP mempunyai hala tuju yang tersendiri dimana mereka merupakan parti yang boleh membuat berbagai program dan aktiviti kepada rakyat dengan bersifat sederhana tanpa membuat sebarang publisiti mahupun jemputan media semata-mata untuk mendapat nama.
“Kami adalah salah satu kumpulan dan persatuan yang banyak menyumbang kepada segelintir rakyat yang terpinggir dan terbiar kerana itu adalah salah satu daripada matlamat dan perjuangan kami,”katanya.
Oleh ISMAIL IBRAHIM NORDIN
KOSMO