PROTES AMAN DI HADAPAN KEDUTAAN AS BANTAH CAMPUR TANGAN POLITIK

Protes aman di hadapan kedutaan AS bantah campur tangan politik


29 OGOS: Satu protes aman di hadapan kedutaan Amerika Syarikat (AS) telah diadakan hari ini oleh beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang diketuai oleh Pemantau Malaysia Baru.

Ketika bantahan tersebut, mereka turut menyerahkan satu memorandum menolak campur tangan negara ‘Uncle Sam’ itu dalam urusan politik negara kepada wakil kedutaan.


Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam yang ditemui selepas penyerahan memorandum tersebut memberitahu tujuan mereka mengadakan bantahan itu adalah susulan pendedahan seorang pegawai International Republican Institute (IRI), Daniel Twinning bahawa mereka membiaya dan mencampuri urusan politik negara ini.

“Pagi ini Pemantau Malaysia Baru dan beberapa NGO lain, kita telah menghantar satu memorandum bantahan kepada Kedutaan AS. Kita nyatakan bantahan kita kepada Presiden AS, Donald Trump.

“Ianya berhubung dengan pendedahan yang dibuat oleh Daniel Twinning salah seorang pegawai IRI yang telah mendedahkan mulai tahun 2002, IRI dan National Endowment for Democracy (NED) telah menyalurkan bantuan kewangan dan terlibat dalam satu konspirasi dalam menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Pendedahan ini jelas membuktikan bahawa mereka (AS) telah terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang cukup berwibawa, yang telah membawa Malaysia kepada keadaan yang lebih baik berbanding dengan keadaan yang ditinggalkan rejim kuku besi Dr Mahathir,” katanya.



Menurutnya lagi, sebagai sebuah negara berdaulat tidak sepatutnya ada mana-mana negara mencampuri urusan politiknya.

Sebagaimana rakyat AS mengecam Rusia mencampuri urusan pemilihan Presiden mereka ujar Lokman, begitulah juga pendirian rakyat Malaysia.

“Kita amat sedih, negara yang lantang menentang Rusia campur tangan dalam urusan pemilihan pemimpin mereka, rupa-rupanya mereka ini dah 16 tahun terlibat dalam konspirasi bersama dengan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik,” katanya.



Tambah beliau, kesan daripada campur tangan AS itu, rakyat Malaysia terpaksa menanggung akibatnya kerana proksi AS yang diangkat menjadi kerajaan disifatkannya sebagai tidak boleh diharap.

“Kesan daripada tindakan mereka, kita telah mendapat sebuah kerajaan yang tidak boleh diharap. Sudahlah semua janji-janji tidak ditunaikan, dalam masa yang sama kegagalan mereka untuk mentadbir negara ini dengan baik juga telah membawa banyak kerosakan walaupun baru 120 hari memerintah.

“Bagi saya, proksi AS ini adalah sebuah kerajaan yang gagal-segagalnya dan sebuah kerajaan yang paling berjaya menjahanamkan ekonomi sebuah negara dalam tempoh yang begitu singkat,” katanya.

Antara NGO yang turut menyertai bantahan tersebut adalah Civil & Human Rights Movements Malaysia (CHaRM) dan Melayu Bangkit.

Popular posts from this blog

MyRide Lancar Aplikasi, 100 peratus milik tempatan

GERAKAN PULANGKAN DUIT RAKYAT

PEPIM BUKAN SCAMMER