Janji manis, slogan serta laungan kononnya peruntukkan geran sebanyak RM100 juta kepada Unit Transformasi India Malaysia (MITRA) di bawah Pakatan Rakyat (PH) bagi komuniti ini demi menjamin masa depan lebih baik daripada kerajaan terdahulu tidak lebih daripada retorik.
Malah peruntukan yang diberikan untuk pembangunan modal insan selain menambah baik sosioekonomi, kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan wanita juga pembangunan kemahiran masyarakat India sebenarnya juga ‘memilih bulu’.
Itu luahan hati oleh Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Datuk Seri Datuk Seri Syed Ibrahim Kader hari ini apabila mendedahkan bagaimana secara peribadi beliau terpaksa menempuhi pengalaman seumpama itu dengan kerajaan PH yang seolah-olah mempolitikan peruntukan tersebut.
Dakwa beliau di hadapan lebih 900 perwakilan ketika Perhimpunan Agung Kimma yang ke-42 hari, MITRA bertindak membatalkan permohonan parti itu dalam tempoh beberapa jam sahaja selepas mendapati mereka menyokong kerajaan terdahulu.
“Saya ingin berkongsi satu pengalaman saya sendiri bersama MITRA yang juga merupakan satu agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri. Saya telah dipanggil sendiri oleh pengurusan ini mengemukakan satu kertas kerja program pembangunan modal insan untuk masyarakat India Muslim.
“Kita dalam KIMMA yang sudah berjuang lebih 40 tahun khasnya untuk komuniti India Muslim di negara ini mempunyai rekod cukup baik bagi menjalan program-program seperti ini apatah lagi ianya seperti kehendak oleh kerajaan.
“Malah dengan kerajaan sebelum ini, di bawah SEDIC juga, KIMMA bukan sahaja telah mendapat peruntukan malah telah menjalankan pelbagai program bagi menaiktraraf India Muslim di negara.
“Tetapi apa yang terjadi kepada kami cukup pelik sekali, selepas menghantar kertas kerja bersama-sama apa yang perlu dilampirkan, permohonan peruntukan yang sebenarnya akan digunakan untuk masyarakat India telah mendapat kelulusan pada sebelah pagi.
“Selepas beberapa jam pada hari sama, sebelah petangnya saya mendapat panggilan telefon yang mengatakan permohonan itu terpaksa di tarik balik kerana KIMMA adalah sebahagian daripada UMNO.
“Persoalannya, mengapakah program masyarakat juga mahu dipolitikkan oleh mereka? Jika nasib kami begini, bagaimana pula yang berada di peringkat bawahan?
“Apakah peruntukan ini berdasarkan politik dan siapa yang mereka suka sahaja? Di bawah era Malaysia Baharu ini, terus terang saya katakan, nasib India Muslim seolah-olah bergantung tanpa tali,” katanya.