Zahid: Mudahkan penyaluran bantuan
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan perlu memastikan kaedah dan mekanisme agihan serta penyaluran bantuan Prihatin jelas dan terperinci bagi memudahkan urusan rakyat.
Katanya, kerajaan perlu mengurangkan rintangan birokrasi bagi memastikan rakyat segenap lapisan menerima manfaat.
"Kaedah dan mekanisme agihan serta penyaluran bantuan setiap kementerian dan agensi terlibat perlu jelas dan terperinci bagi memudahkan rakyat berurusan.
"Database yang dimiliki oleh kerajaan berkaitan dengan penerima yang layak dan kategorinya perlu dipastikan benar-benar tepat dan terkini memandangkan jumlah penerima pada kali ini adalah amat besar," katanya dalam satu catatan di Facbooknya, hari ini.
Jelasnya, pembangkang juga perlu menyokong usaha kerajaan dalam membantu rakyat menghadapi situasi sukar kerana penularan wabak ini dan memastikan objektif Prihatin berjaya.
"Menjadi tanggungjawab kepada rakan-rakan di pihak pembangkang memberikan kerjasama dan dokongan kepada kerajaan bagi membendung penularan pandemik Covid-19 dan tidak mempolitikkan setiap usaha yang dilakukan kerajaan," katanya.