Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional tidak dapat menghalang mana-mana ahli Parlimen untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan sokongan majoriti ahli Parlimen yang didakwa telah diperolehinya.“Saya dimaklumkan ramai Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN yang telah menyatakan sokongan. Saya menghormati pendirian Ahli-Ahli Parlimen berkenaan,” kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan hari ini.Ahmad Zahid berkata, beliau telah mengikuti sidang media oleh Presiden PKR dan ahli Parlimen Port Dickson itu yang disiarkan secara langsung di laman sosial.Sebagaimana diketahui umum, katanya, UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN).“Sokongan kepada kerajaan PN merupakan sokongan dari Ahli-Ahli Parlimen sahaja,” kata Ahmad Zahid yang juga merupakan Pengerusi BN.Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson dalam sidang medianya hari ini mendakwa telah memperoleh sokongan majoriti untuk membolehkannya membentuk kerajaan Persekutuan.Bagaimanapun, Anwar enggan mendedahkan perincian nama serta jumlah sebenar yang diperoleh sebaliknya menunggu untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette