MELAKA SEKTOR PELANCONGAN DIJANGKA TERUS BERTUMBUH WALAUPUN KES POSITIF COVID-19 MENINGKAT
Sektor pelancongan Melaka dijangka terus bertumbuh walaupun kes positif Covid-19 meningkat
KUALA LUMPUR - Sektor pelancongan di Melaka dijangka terus bertumbuh menjelang Jun 2021 meskipun jumlah kes positif Covid-19 semakin meningkat dan mencecah tiga di angka yang kini menular di Sabah.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali melahirkan keyakinan itu susulan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan rakyat di negeri itu masih tinggi sehingga sekarang.
"Alhamdulillah Melaka di antara tiga negeri yang terbaik dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan SOP yang ditetapkan kerajaan pusat.
"Saya yakin kalau rakyat Melaka begitu juga pelancong yang hadir ke Melaka sentiasa mematuhi arahan seperti mana yang ditetapkan, kita dapat memutuskan rantaian Covid-19.
"Saya bukan tidak bimbang dengan peningkatan kes tapi saya yakin sektor pelancongan di Melaka ini boleh dipertingkatkan walaupun berlaku peningkatan kes yang terbaru pada masa ini," katanya pada sidang media di Stesen LRT Masjid Jamek, hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Program Promosi Pelancongan Melaka Menerusi LRT Wrapping dengan kerjasama Kumpulan Prasarana Berhad.
Dalam pada itu, katanya sehingga kini Melaka masih mengekalkan statusnya sebagai negeri hijau dan tiada kes baharu dilaporkan di negeri itu setakat ini.
"Kebanyakan kes yang berlaku di Melaka sebelum ini kita ada 262 kes Covid-19 ini di sepanjang tempoh PKP ini, setakat ini tiada peningkatan baharu.
"Jumlah keseluruhan 262 ini kebanyakan mereka ini di mana 90 peratus adalah kes import," katanya lagi. - MalaysiaGazette