JANGAN MARAHKAN NYAMUK, KELAMBU DIBAKAR

JANGAN MARAHKAN NYAMUK, KELAMBU DIBAKAR

Pengerang: Pengundi di negeri ini terutama di Pengerang diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan isu luar yang dimainkan parti pembangkang di kawasan itu.

  Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata, sepanjang kempen Pilihanraya Negeri (PRN) Johor kali ini, pembangkang memainkan isu kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dicop 'kluster mahkamah' untuk berkempen bagi calon Barisan Nasional (BN).

  Bagaimanapun, beliau berkata, isu itu tidak sepenting usaha BN untuk mendapatkan kestabilan politik bagi mentadbir negeri itu.

"Isu ini dilihat lebih relevan kepada rakyat setempat di Pengerang berbanding isu tersebut yang kini sudah dalam proses perbicaraan.

  "Mereka semua ini bila habis PRN akan balik. Tapi kita ini nak bekerja lepas kita menang. Bukan lepas kita menang kita hilang. 

  "Sebab itu saya nak ingatkan kepada pengundi, janganlah marahkan nyamuk, dibakarnya kelambu,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

  Beliau berkata, kesinambungan pembangunan di bawah Parlimen berkenaan yang meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar dan DUN Tanjung Surat memerlukan kepada kerajaan negeri yang stabil, di samping kerjasama dengan kerajaan Pusat.

  "Kejayaannya untuk membangunkan Pengerang melalui projek seperti Kompleks Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) adalah hasil daripada kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

   "Kalau kerajaan negeri adalah berlainan dengan kerajaan Pusat, macam mana kawasan Parlimen Pengerang nak naik dalam masa 20 tahun.

  “Orang datang sini cakap jambantan cantik (Jambatan Sungai Johor), RAPID untung. Ya, tapi keuntungan yang mereka dapat adalah daripada kerajaan yang stabil,” katanya.

   Beliau berkata, pemilihan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang, Aznan Tamin, sebagai calon DUN Tanjung Surat, bertepatan dengan komitmen BN dalam penyediaan peluang pekerjaan untuk anak muda di kawasan itu.

   "Jadi saya harap calon anak muda yang kita tawar di DUN ini akan menyambung dan buat tuntutan terhadap komitmen tersebut. Saya pun dah tegur supaya jangan lepas menang jadi lupa amanah dan tanggungjawab sebab perjuangan kita belum selesai,” ujarnya.

  Selain Aznan, Fauziah Misri mewakili  DUN Penawar bagi satu lagi  kerusi di Parlimen berkenaan.



Popular posts from this blog

MyRide Lancar Aplikasi, 100 peratus milik tempatan

GERAKAN PULANGKAN DUIT RAKYAT

PEPIM BUKAN SCAMMER