YAYASAN METAMORPHOSIS SANTUNI300 'MAT REMPIT' SEMARAK HARI KEMERDEKAAN

 

YAYASAN METAMORPHOSIS SANTUNI 300 'MAT REMPIT' SEMARAK HARI KEMERDEKAAN

KUALA LUMPUR - Yayasan Metamorphosis menyantuni lebih 300 'mat rempit' bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-65 dan semangat patriotisme golongan itu.
Kesemua belia dari sekitar Lembah Klang itu dihimpunkan dalam program khas Santai Anak Muda di sekitar Jalan Raja Laut di sini, malam tadi.
Presiden Yayasan Metamorphosis, Datuk Razalif Zain berkata, objektif utama penganjuran program itu bertujuan mendekati golongan mat rempit yang dipandang negatif masyarakat sejak sekian lama.  
"Menerusi Santai Anak Muda ini, kami memberi motivasi dan kaunseling kepada belia mengenai risiko buruk menjadi mat rempit yang tidak bersikap positif.
"Selain itu, kami menyerahkan Jalur Gemilang untuk dipasang pada motosikal masing-masing bagi memeriahkan hari kemerdekaan dan semangat cintakan Malaysia. 
"Pendekatan santai yang berhemah seumpama ini diharap mampu membuatkan golongan itu berasa lebih dihargai dan berguna kepada rakyat dan negara," katanya selepas merasmikan program itu.
Jelas Razalif, Yayasan Metamorphosis
bercadang membina sebuah litar atau trek kepada mat rempit untuk menghabiskan masa lapang mereka terutama cuti hujung minggu.
"Kita mahu trek itu dijadikan litar sah untuk mereka merempit berbanding berlumba secara haram di jalan raya.
"Selain lebih selamat dan terkawal, ia sekali gus mengelak risiko kemalangan yang bukan saja membahayakan nyawa sendiri malah pengguna jalan raya lain," katanya.
Tambah beliau, pihaknya mahu mengubah stigma masyarakat yang kebanyakkannya memandang serong kepada mat rempit.
"Tidak semua golongan itu teruk kerana ada daripadanya mempunyai kerjaya yang bagus dan maju ke hadapan. 
"Justeru, kita perlu membantu mereka menerusi program seumpama ini yang mendapat sambutan amat memberangsangkan," katanya.
Ujar Razalif, Yayasan Metamorphosis yang ditubuhkan sejak 2019 sebelum ini menganjurkan program seumpamanya di Pulau Pinang sebelum kini beralih ke Kuala Lumpur.
"Selain membantu asnaf, kita juga memfokuskan golongan beliau terutama memberi bantuan kepada mereka sejak sekian lama.


"Namun, faktor pandemik Covid-19 selama dua tahun membataskan segalanya dan bersyukur kerana kita dapat melaksanakannya pada tahun ini," katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut akan meneruskan program itu menerusi konvoi ke Lost World of Tambun di Perak minggu depan.
"Kami menjangkakan seramai 1,000 mat rempit akan menyertainya yang bermula dari acara pelepasan di Kuala Lumpur."Pelbagai aktiviti disediakan kepada mereka di Tambun itu nanti dan semestinya mahu menyemarakkan hari kemerdekaan dengan kibaran Jalur Gemilang," katanya. - UtusanPost

Popular posts from this blog

MyRide Lancar Aplikasi, 100 peratus milik tempatan

GERAKAN PULANGKAN DUIT RAKYAT

PEPIM BUKAN SCAMMER