Kuala Lumpur: Pengerusi Perhubungan Umno negeri sudah diminta untuk memberikan senarai nama yang bakal bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan tarikh akhir untuk berbuat demikian mulai Isnin minggu depan kepada Top 5 bagi penentuan calon.
Perkara itu antara yang terkandung dalam amanat pada perjumpaan khas bersama Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini yang membabitkan semua 191 bahagian termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.
Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon berkenaan perlu mempunyai tiga kriteria iaitu WALI iaitu boleh memenangi (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable).
"Siapa yang memenuhi kriteria ini akan menjadi calon Umno.
""Senarai boleh diberikan mulai Isnin depan,” katanya dalam sidang media selepas perjumpaan khas itu yang turut dihadiri Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut hadir dalam perjumpaan berkenaan.
Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa Pas diminta mengemukakan pendiriannya sama ada ingin bersama Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRU15 secepat mungkin.
"Perjumpaan bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sudah dilakukan bagi membincangkan mengenai dasar itu. Syarat utama bagi PAS untuk bekerjasama dengan BN ialah perlu memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional (PN).
"Saya memperakukan saya sudah lakukan pertemuan dengan presiden Pas dan apa yang kami bincangkan mengenai dasar. Majlis Kerja Tertinggi Umno mengabsahkan jika Pas mahu bersama kita mereka perlu memenuhi syarat yang kita tentukan.
"Tanpa syarat itu kita akan bergerak secara solo...mereka perlu kemukakan keputusan secepat mungkin. Bukan kerana over confident, tetapi yakin. Tentunya kita mesti bergerak ikut kaedah, tetapi jika mereka (Pas) mahu bersama dengan Umno dan BN, mereka bebas untuk mengunakan lambang parti mereka, boleh tolerasi jalin kebersamaan bagi menghadapi pilihan raya," katanya.
Ketika ditanya sama ada Perdana Menteri diberikan 'deadline' untuk mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong cadangan tarikh pembubaran Parlimen, beliau secara berseloroh berkata, seboleh-bolehnya semalam.
"Ïtu bukan kuasa parti. Kita menghormati kuasa Perdana Men
teri untuk mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Beliau juga ditanya mengenai kebimbangan PRU15 dilaksanakan ketika bah melanda negara dan katanya pilihanraya itu akan dilakukan sebelum banjir.