KUALA LUMPUR - Peletakkan calon politik muda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah
langkah yang efektif bagi menarik minat dan keyakinan para pengundi muda yang pertama kali
bakal mengundi.
Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Muhamad Nur Aizat Noor Azam perkara itu
adalah penting untuk Barisan Nasional kerana golongan pengundi muda yang berusia 18 hingga
21 tahun berasa lebih dekat dengan calon-calon muda yang bakal menjadi suara dan wakil mereka
di masa hadapan berbanding calon politik yang lebih senior.
Aizat Azam berkata, selain itu golongan pengundi muda sekarang juga lebih bijak, peka dan
mengambil berat mengenai manifesto yang diperjuangkan oleh calon atau parti tertentu.
Oleh itu, katanya, beliau mempunyai rancangan yang jelas dan teratur untuk masa depan generasi
muda jika diberikan mandat oleh rakyat pada PRU15 bagi memperkasakan golongan muda.
“BN dan UMNO perlu menawarkan janji manifesto yang akan memberikan kelebihan dan
keuntungan kepada orang muda dalam menarik minat mereka mempercayai Barisan Nasional.
Sebab itu hanya calon muda sahaja yang pengundi boleh percaya akan membawa aspirasi
golongan muda.
“Kita sedar manifesto merupakan satu janji dan pengundi muda pada hari ini sentiasa akan
memikirkan tentang masa depan mereka untuk empat atau lima tahun akan datang.
“Mereka hendak tahu selepas PRU15 apakah jaminan masa depan dan kestabilan mereka bagi
meneruskan kehidupan dengan kos sara hidup yang tinggi dan peluang pekerjaan dengan gaji
yang wajar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi ramah mesra bersama media di sini, malam ini.
Tahun lalu, pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan telah diluluskan di mana usia layak
mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun serta pendaftaran pemilih secara automatik
memberikan golongan umur itu hak mengundi pada PRU15
Pemilih berdaftar terkini yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berdasarkan
Daftar Pemilih Tambahan Mei 2022 pada 16 Jun lalu melibatkan jumlah 21,113,234 orang.
Bagi penguatkuasaan had umur pemilih daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun pada 15
Disember 2021, ia menyaksikan pertambahan ketara pemilih seramai 5.8 juta orang yang mana
1.2 juta adalah terdiri daripada golongan anak muda berusia 18 hingga 21 tahun.
Mengulas lanjut, Aizat Azam menambah, langkah BN mengemukakan calon muda dan tawaran
baharu dilihat faktor penting bagi memastikan golongan pengundi muda dalam golongan Undi18
- 21 akan memilih komponen itu pada PRU.
Beliau berkata, golongan muda kini perlu diakui semakin bijak membuat penilaian terhadap apa
juga isu yang timbul kerana informasi berada di hujung jari mereka.
“Bagi memastikan BN mendapat sokongan daripada pengundi kali pertama, maka BN perlu
menampilkan manifesto baharu yang boleh menarik keyakinan orang muda.
“Calon yang hendak diketengahkan itu mesti kebanyakannya muka baharu, memenuhi cita rasa
orang muda dan semestinya tidak mempunyai sebarang masalah dengan kes rasuah mahu pun
jenayah atau spekulasi skandal.
“Antaranya adalah calon yang profesional dan amat bersesuaian untuk mengetengahkan isu
rakyat dan meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat dan pengundi,” katanya.
Aizat Azam berkata, BN perlu mengekalkan strategi dalam meraih kemenangan besar Barisan
Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu yang banyak dipengaruhi faktor
calon muka baharu dan strategi menarik undi orang muda.
Jelas beliau, strategi tersebut memperlihatkan gabungan itu memperolehi 40 daripada 56 kerusi
yang ditandingi mereka.
Katanya lagi, beliau berharap, BN tidak harus berkompromi dengan faktor penarik itu sebaliknya
meneruskan momentum kemenangan di PRN Johor pada PRU15 ini menggunakan strategi yang
sama.