Kuala Lumpur: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengesahkan beliau sudah memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin UMNO mengenai dakwaan sogokan kepada perwakilan pada pemilihan parti itu, 18 Mac lalu. 

Jamal yang hadir di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada jam 12 tengah hari tadi, dipanggil menghadap dan disoal siasat selama lebih dua jam. 

Jamal mendakwa, kemenangan beliau mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar buat penggal ketiga, tidak mempunyai kaitan dengan rasuah. 

"Hari ini, Lembaga Disiplin memanggil saya kerana ada aduan dan laporan terhadap saya. Jadi, saya hadir untuk menjawab pertuduhan kononnya saya merasuah perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar untuk memilih saya pada pemilihan lalu. 

"Untuk itu, saya bersama 15 daripada 20 saksi yang dikatakan telah menerima wang daripada saya, membawa bersama akuan bersumpah (SD) yang lengkap ditandatangani untuk menafikan dakwaan ini. 

"Ini adalah satu tuduhan yang jahat, lebih-lebih lagi Selangor bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi dan ini akan mempengaruhi pengundi bahawa UMNO mengamalkan rasuah," katanya pada sidang media, hari ini. 

Yang turut hadir, peguam Jamal merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin. 

         

Kelmarin, media melaporkan Lembaga Disiplin UMNO memanggil surat pemakluman untuk memanggil Jamal hadir itu ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun bertarikh 7 April lalu.

Dalam surat itu menyatakan Jamal dipanggil kerana didakwa melanggar peruntukan Perlembagaan UMNO dan Tataetika Ahli UMNO yang boleh dihukum di bawah Fasal 20.9.

Dalam pada itu, Jamal berkata, beliau juga mengemukakan segala bukti pertuduhan dan memberikan SD serta saksi kepada Lembaga Disiplin UMNO. 



"UMNO Bahagian Sungai Besar mengikut segala peraturan ditetapkan. Yang kata kecoh sana sini..mereka (pihak) yang kalah (dalam pemilihan) dan tidak berpuas hati disebabkan tiada tempat (dalam UMNO Bahagian)," katanya.


-tamat-

Popular posts from this blog

MyRide Lancar Aplikasi, 100 peratus milik tempatan

GERAKAN PULANGKAN DUIT RAKYAT

PEPIM BUKAN SCAMMER