KUALA LUMPUR: Selaras dengan bebanan ekonomi yang dilihat kurang memberangsangkan bagi peniaga bulan Ramadan ini, harga ‘Rahmah Plus’ ditawarkan kepada mereka yang ingin menambah pendapatan sebelum menjelang Aidilfitri ini.
Daripada harga permulaan yang ditawarkan sebanyak RM1,500 bagi satu tapak gerai, kini diturunkan kepada harga RM900 bagi karnival Hoorrey X Fest Raya bermula 18 April sehingga malam raya, selama 72 jam.
Sementara harga gerai RM3,500 pula, ia akan menjadi RM1,800 dan RM12,000 pula hanya menjadi RM5,000.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Asia Global Entertainment (International) Sdn. Bhd., Datuk Mohammad Alif Hakim, penurunan harga itu mengambil kira keluhan ramai peniaga yang disuarakan kepadanya, sekali gus pihak pengurusan bersetuju untuk menurunkan harga daripada kadar yang ditetapkan bagi membantu golongan peniaga dan usahawan yang akan terlibat nanti.
“Saya faham mungkin ada peniaga yang akan marah dengan kita sebab ada yang sudah membeli booth lebih awal, tetapi istimewa untuk mereka, boleh menambah RM500 sahaja untuk mendapatkan satu lagi booth, jadi mereka boleh menjual apa sahaja barangan yang mereka ingin jual dengan harga rahmah, semua akan buang harga pada karnival itu.
“Untuk RM900 ini, ia hanya terbuka untuk 40 booth sahaja, kita pun sudah memperbesarkan lagi ruangan jualan daripada perancangan asal, kita akan ada dua pentas utama di dewan 3 dan 4, di koridor tingkat 4 juga kita ada food truck, jadi pilihan yang banyak menanti para pengunjung,” katanya pada sidang media semalam.
Menurut Mohammad Alif, festival tersebut mendapat kerjasama penuh Kelab Usahawan Selebriti Malaysia (KUSM) serta Artist Corner.
Selain itu, antara rakan artis yang turut terlibat termasuk Lann A To Z, Wan Scoin, Jaafar Onn, Ayie Floor 88, Amer Forteen, Elyana, Aidil Aziz, Risteena, Izzue Islam, Rina Eva, Anne Abdullah, Farah Wahida, Cat Farish, Ayu Damit, Soffi Jikan, Rahmat Mega, Sasha Aziz dan ramai lagi.
Dalam pada itu Mohammad Alif berkata, sempena penganjuran Hoorrey X Fest Raya ini juga, pelbagai acara menarik turut diselitkan dan itu termasuk program Infaq Ramadan Hoorrey yang berbentuk jamuan berbuka puasa, moreh, sumbangan kelengkapan dan duit raya serta program sahur teramai di WTCKL.
Sebelum ini, Mohamad Alif memaklumkan, pihaknya tidak berhasrat untuk bersaing dengan mana-mana pihak yang sebelum ini pernah menganjurkan festival seumpamanya, dengan tidak menumpukan sebarang sasaran pengunjung.
Sebaliknya, pihak mereka hanya menyambut baik pendekatan Malaysia Madani yang berkonsepkan ‘Rahmah’ dalam hampir semua program kerajaan yang mengutamakan kebajikan golongan miskin dan berpendapatan rendah (B40) kian mendapat sambutan daripada rakyat.
Jelasnya, walaupun konsep itu bermula dengan Menu Rahmah, namun usaha untuk membantu rakyat berdepan dengan kenaikan kos sara hidup itu, kini dilihat semakin diterima pemain industri dalam perniagaan mereka.
Majlis perasmian dijangka disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Sebarang maklumat lanjut, hubungi Boy (011-3573 3060), Zai (010-2620078) dan Shawn (011-5550 5017). – UTUSAN