CUBA PERLEKEH KREDIBILITI SPRM - ARIFFIN

                          CUBA PERLEKEH KREDIBILITI                       SPRM - ARIFFIN

KUALA LUMPUR - Gerakan Pulangkan Duit Rakyat melahirkan rasa kesal dengan tindakan isteri kepada bekas Menteri Kewangan yang memfailkan permohonan mencabar pertuduhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada dirinya. 

Jurucakapnya, Ariffin Abu Bakar berkata, tindakan itu seolah-olah cuba memperlekeh kewibawaan dan kredibiliti SPRM sebagai badan bebas. 

"SPRM sepatutnya bebas untuk menyiasat mana-mana individu yang terkait dengan penyalahgunaan kuasa, kedudukan serta salah laku rasuah di negara ini. 

"Tindakan itu mencabar kesahihan pertuduhan itu seolah-olah tidak menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu rakyatnya memerangi rasuah," katanya pada sidang media di luar pekarangan Parlimen di sini, hari ini. 

Dalam pada itu, Ariffin juga menggesa SPRM agar terus berani membuat siasatan dan berusaha mendapatkan semula duit rakyat yang didakwa hilang berbilion ringgit dalam pentadbiran kerajaan terdahulu. 

"Di kala rakyat dihimpit dengan tekanan kos sara hidup melambung tinggi, langkah SPRM untuk menokhtahkan salah guna kuasa dan salah laku rasuah harus disokong semua pihak. 

"Dengan kembalinya duit rakyat berbilion ringgit itu diharapkan dapat memberi kelegaan kepada ekonomi Malaysia dan lebih penting menstabilkan nilai ringgit yang jatuh teruk ketika ini," katanya. 

Sehubungan itu, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) itu turut mencadangkan agar kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperkasakan SPRM. 

"Dengan langkah itu, kredibiliti SPRM boleh dipulihkan dan membuat pindaan undang-undang berkaitan agar tiada mana-mana individu boleh memperlekeh kewibawaan SPRM sebagai badan bebas," katanya lagi. - MalaysiaGazette

Popular posts from this blog

MyRide Lancar Aplikasi, 100 peratus milik tempatan

GERAKAN PULANGKAN DUIT RAKYAT

PEPIM BUKAN SCAMMER