JANJI DUA TAHUN SELESAI MASALAH RAKYAT
JANJI DUA TAHUN SELESAI
MASALAH RAKYAT
KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan, Syed Abdul Razak Syed Long Alsagof, berjanji akan menyelesaikan masalah pengundi kawasan itu dalam tempoh dua tahun selepas dilantik menjadi wakil rakyat.
Janji itu termaktub dalam surat akuan bersumpah yang ditandatanganinya hari ini.
Dalam akuan bersumpah itu, beliau berikrar dan berjanji akan melaksanakan tugas selaku ADUN Bukit Lanjan dengan baik dan cekap jika diberi peluang oleh 64,217 pengundi di Bukit Lanjan (N37) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
"Jika dipilih pengundi, saya bersumpah akan menyelesaikan segala masalah masyarakat Bukit Lanjan secara munasabah dalam tempoh 730 hari atau dua tahun bermula dari tarikh saya mengangkat sumpah sebagai ADUN Bukit Lanjan yang baharu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam surat akuan bersumpahnya yang diedarkan kepada media di sini hari ini.
Syed Abdul Razak juga berjanji bahawa satu bancian akan dilakukan selepas 730 hari beliau dilantik sebagai ADUN bagi menilai tahap kepuasan pengundi terhadap prestasinya.
Katanya, syarikat atau institusi yang akan mengendalikan bancian itu adalah bebas daripada pengaruh politik.
"Jika bancian itu mendapati tahap kepuasan dan pengundi kurang daripada 51 peratus, saya sedia meletakkan jawatan dengan segera atas kerelaan sendiri," katanya.
Beliau berkata, akuan bersumpah itu dibuat atas kerelaan sendiri tanpa didorong, dipaksa atau diugut oleh mana-mana pihak atau dipengaruhi oleh mana-mana parti politik termasuk BN.
Pada pilihan raya kali ini, Syed Abdul Razak akan menentang calon PKR, Elizabeth Wong Keat Peng, yang juga penyandang kerusi berkenaan.