ARMADA BUKIT BINTANG TOLAK CALON PENCEN, ORANG LAMA TERAJUI DBKL
ARMADA BUKIT BINTANG TOLAK CALON PENCEN, ORANG LAMA TERAJUI DBKL
KUALA LUMPUR - Angkatan Bersatu Muda (ARMADA) Bahagian Bukit Bintang hari ini menolak calon Datuk Bandar Kuala Lumpur dalam kalangan pesara kerajaan mahupun penjawat awam yang berusia. Ketuanya, Mohd Norhisham Abd Karim menegaskan, calon Datuk Bandar Kuala Lumpur mestilah individu yang masih berkhidmat dalam kerajaan dan bukannya orang lama yang dikitar semula.
"Saya menyeru kerajaan dan pucuk pimpinan yang diberi kuasa atauyang mempunyai kuasa memilih, calon Datuk Bandar Kuala Lumpur, mereka mestilah teliti senarai calon-calon yang layak dan masih dalam perkhidmatan.
"Bukannya kitaran orang politik lama yang mana orang muda tidak dapat mengambil peluang untuk bersaing seperti peluang naik pangkat dan kedudukan lebih baik. "Sekiranya kita pilih orang pencen, bagaimana orang bawah yang nak naik pangkat atau pergi lebih jauh dan menambahbaik pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini," katanya pada sidang media di Publika Hartamas, hari ini.Beliau mengulas isu perkhidmatan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang akan bersara daripada jawatan itu, hujung bulan ini. Nor Hisham dikatakan calon Bandar Raya Kuala Lumpur dikitar semula oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan diumumkan Khalid Abdul Samad ketika menjadi Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini. Nor Hisham, 64, sebelum ini bersara pada Mei 2018, selepas dua tahun di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sejak 2014 dan disambung menerusi kontrak selama satu tahun atas kecemerlangan beliau.Dalam pada Itu, Mohd Norhisham juga berkata, tidak timbul soal pengalaman sama ada orang lama atau baharu, sebaliknya beliau mahu pengganti Nor Hisham dipilih atas faktor struktur dan budaya kerja DBKL. "Dengan adanya orang yang sudah pencen atau berusia diangkat sebagai Datuk Bandar akan mengubah persepsi orang bawahan dan melemahkan semangat daya kerja dan timbul kelemahan dalam jati diri.
"Dalam era Covid-19, norma baharu ini aktiviti ekonomi dalaman Kuala Lumpur perlukan suntikan semangat, wajah baharu, calon baharu, bukan calon orang lama," katanya. Katanya lagi, ketidakstabilan politik juga akan mengakibatkan implikasi sepertimana pentadbiran kerajaan yang lepas.
"Baru-baru ini saya melihat satu petikan akhbar berbahasa Cina mereka telah menamakan tiga calon yang akan dinaikkan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu. "Dua daripadanya sudah tamat perkhidmatan dan satu lagi masih dalam perkhidmatan. "Saya mengharap kerajaan dapat mengkaji dan membuat keputusan yang tepat untuk anak muda dan warga Kuala Lumpur," katanya lagi. - MalaysiaGazette