TOMMY THOMAS DEDAHKAN RAHSIA NEGARA
TOMMY THOMAS
DEDAHKAN RAHSIA
NEGARA
KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) — Setiausaha Agung UMNO Malaysia Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini membuat laporan polis terhadap Buku Memoir Tommy Thomas yang didakwa memesongkan sejarah negara dan memperlekehkan Jabatan Peguam Negara.
Laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada pukul 5 petang.
Ditemui selepas membuat laporan, Ahmad berkata penulisan dalam buku berkenaan Peristiwa 13 Mei 1969 dan Tun Abdul Razak adalah berbaur hasutan dan mempunyai kecenderungan tinggi mendatangkan kebencian terhadap pentadbiran keadilan di negara ini serta berniat jahat.
Selain itu, katanya Tommy juga telah melanggar Akta Rahsia Rasmi kerana menyampaikan maklumat rahsia rasmi kerana menyentuh dan memberi komen berkenaan prosedur pendakwaan dan kertas-kertas siasatan semasa berkhidmat sebagai Peguam Negara Malaysia.
“Saya membuat laporan ini untuk pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan keatasnya khususnya dibawah Seksyen 3 dan 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menghasut, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya.