LINTAS DULU GARISAN PENAMAT DAN BARU BENTUK KERAJAAN
Mersing: Barisan Nasional (BN) perlu memastikan mengakhiri lintasan penamat Pilihanraya Negeri (PRN) Johor sebagai pemenang terlebih dulu untuk membentuk kerajaan. Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, sasaran sama ada BN boleh mencapai kemenangan dua pertiga dalam PRN Johor kali ini adalah soal lain. "Bagi saya, dua pertiga ke tidak, itu lain cerita. "Yang perlu kita buat ialah supaya melintasi garis penamat itu dulu, dah lintas garis penamat kita boleh tubuh kerajaan. "Semua parti masuk PRN Johor ini bukan nak suka-suka...nak menang lepas itu tubuhkan kerajaan," katanya ditemui selepas Majlis Makan Tengahari di pejabat UMNO Bahagian Mersing di sini, hari ini. Mengenai kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, bahawa sasaran parti itu lebih realistik tidak seperti sasaran BN yang disifatkan sebagai berada di awang-awangan, Mohamad berkata, biarlah Hamzah cakap yang apa sahaja yang dimahukan.
"Saya tak dapat nak komen apa dia cakap. Biar dia cakap apapun. Saya bukan autority untuk komen apa dia cakap. "Saya bukan turun ke johor untuk bergaduh tapi nak meraih simpati supaya pengundi di Johor berikanlah kepercayaan dan mandat semula kepada BN kerana BN sahajalah boleh membawa kestabilan poltik" katanya. Mengenai sasaran BN dalam PRN Johor kali ini, Mohamad berkata, pihaknya mempunyai sasaran tetapi baginya Johor berbeza dengan Melaka. "Melaka kawasan dia tak sebesar di Johor. "Taburan penduduk di Melaka sangat jelas, 23 kerusi daripada 28 kerusi majoritinya Melayu...senang saya buat ramalam. "Tetapi di Johor ini,taburan penduduk iaitu kepelbagaian kemajmukan penduduk itu ada di setiap DUN," katanya.Selain itu, beliau berkata, ini kali pertama pengundi yang didaftarkan secara automatik menjadi pengundi seramai 750,000 orang.
"Satu DUN terdiri daripada sekurang-kurangnya 6,000 pengundi baharu. "Tempat lain ada yang 30,0000 40,000, jadi ia sedikit mendatangkan hati hati kepada kita di sini untuk membuat anggaran yang tepat," katanya. Beliau berkata, jangkaan lebih tepat lagi hanya dapat diperolehi selepas jentera BN menjalankan 'dry run' kedua selepas ini. Mohamad berkata, bagi Zon Johor Timur yang mempunyai lapan kerusi DUN daripada empat Parlimen, pihaknya yakin BN akan menguasai semua kerusi itu "InshaAllah, kali ini kita akan dapat menang lapan per lapan lagi. "Tapi perlu bekerja secara berfokus sehingga 12 Mac dan bawa seramai mungkin pengundi," katanya.