PAPSMA RAYU PM BERI KELONGGARAN - MEGAT FAIROUZ

PAPSMA rayu PM beri kelonggaran - Megat Fairouz 

KUALA LUMPUR  06/06/22 = Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) merayu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar melonggarkan kemasukan pekerja asing dari Bangladesh meliputi semua ahli Pertubuhan Ejen Rekrutmen Antarabangsa Bangladesh (BAIRA). 

Presidennya, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid berkata, kelulusan itu sewajarnya diberikan kepada semua ejen pekerja asing dan tidak terhad kepada 25 agensi pekerjaan semata-mata. 

"PAPSMA sebagai suatu persatuan khas bagi syarikat-syarikat agensi pekerjaan berlesen C dan mempunyai ramai ahli yang pakar serta berpengalaman dalam pengrekrutan pekerja Bangladesh ke Malaysia. 

"Kami menyeru kerajaan supaya tidak lagi menangguhkan proses kemasukan pekerja Bangladesh yang kini sudah berkemahiran dan siap sedia dengan status dapat menyesuaikan diri untuk memenuhi kekosongan yang sedia ada di negara kita dengan secepat mungkin. 

"Daripada memilih 25 atau 250 agensi pekerjaan dari Bangladesh di mana akan melewatkan lagi proses kemasukan pekerja dari negara mereka," katanya pada sidang media di Inter Continental Hotel, Jalan Ampang di sini, hari ini. 

Tambahnya, PAPSMA tidak mahu kembali ke era 2015 hingga 2017 di mana akibat daripada 10 agensi pekerjaan Bangladesh yang dipilih telah menyebabkan banyak masalah dan kerumitan. 

"Langkah itu telah menyebabkan Kerajaan Malaysia terpaksa membatalkan kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini pada 2017," katanya. 

Beliau juga mendedahkan, pekerja Bangladesh dikenakan kos kemasukan ke Malaysia yang tinggi sehingga mencecah RM20,000 walaupun pada awalnya kerajaan dan pekerja diberitahu bahawa kos itu adalah rendah. 

"Agensi-agensi Bangladesh terlibat telah mengaut keuntungan begitu tinggi dan apabila pekerja sampai ke Malaysia, mereka melarikan diri daripada majikan yang sah. 

"Ini kerana mereka tak dapat membayar kos hutang yang diperolehi dari negara mereka untuk bekerja di Malaysia. 

"Ini juga menyebabkan banyak majikan membayar kos levi dan lain-lain perbelanjaan mengalami kerugian besar akibat keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia pada masa itu," katanya. 

Menurutnya, agensi-agensi yang dipilih ini perlu mengutip wang daripada pekerja bagi memenuhi kehendak orang kenamaan tertentu bagi tujuan melobi dalam perniagaan mengimport manusia. 

"Perkara sebegini boleh merosakkan nama Malaysia yang kini berada di tahap ketiga dalam kategori Migran Buruh Paksa (ILO) antarabangsa yang boleh menjejaskan identiti dan imej negara di mata dunia. 

"Kebanyakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan industri di Malaysia telah pun mengalami kerugian, protes dari negara luar dan didenda berjuta-juta ringgit. 

"Ini kerana mereka didapati bersalah di bawah ordinan buruh paksa dan kutipan wang dari pekerja asing di negara asal sebelum kemasukkan mereka ke negara kita," katanya lagi. - MalaysiaGazette

Popular posts from this blog

MyRide Lancar Aplikasi, 100 peratus milik tempatan

GERAKAN PULANGKAN DUIT RAKYAT

PEPIM BUKAN SCAMMER